CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, May 15, 2014

Beranikah kita jemu pada yang tersayang?



“Berdosakah seseorang yang ada ilmu tapi biarkan orang yang terdekat berterusan dalam kejahilan (eg: ajar mengaji)”

Situasi sebegini, patut teruskan atau tidak?

Bagi tiap- tiap keadaan yang mahu dirungkaikan, andai kita tidak letakkan diri kita dalam situasi yang sama, sukar untuk menilainya dari hanya sebelah sudut. Jujur mengakui bagi diri sendiri yang jahil serba serbi lagi cetek ilmu dan pengalaman ni, tiap- tiap kali teringatkan soalan yang diajukan ini, ia mengingatkan diri sendiri pada tanggungjawab kepada keluarga yang tidak mungkin akan pernah sempurna. Ramai orang yang mengalami keadaan yang sama, cuma berbeza cara dan tahap. Dan tidak semua penyelesaian itu serasi dengan tiap- tiap orang. Pandangan saya yang tidak seberapa ini, walau tidak menjadi penyelesaian, semoga paling- paling kecil dan biar ia menjadi motivasi buat semua untuk terus kuat untuk bermujahah menunaikan tanggungjawab dan jangan pernah berputus asa.

PELIHARALAH DIRI DAN KELUARGAMU DARI API NERAKA, JIKA KAMU ORANG YANG BERIMAN!

Alhamdulillah hari ini jumaat yang lapang dan mempermudahkan urusan memberi pandangan. Memperkatakan mengenai tanggungjawab kita kepada keluarga terutamanya (dan orang- orang terdekat juga, kerana setiap mukmin itu bersaudara), ia akan mengingatkan pada satu firman Allah dalam surah at-Tahrim yang berbunyi;

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Ini suruhan Allah SWT kepada orang yang beriman. Maka yang pertama- tama sekali, termasukkah kita ke dalam golongan orang yang beriman itu? Berimankah kita jika suruhan-Nya tidak kita laksanakan, dan membiarkan pula keluarga kita dalam kehanyutan? Tanyalah pada hati sendiri, tepuk dada tanya iman. Jika iman tidak memberi jawapan, besar kemungkinan ia tiada di situ. Atau mungkin juga iman itu telah mati. Na’udzubillah!

Saudara- saudari yang dikasihi Allah SWT,

Kita sebagai umat islam, paling asas sekali, berkewajipan untuk amar makruf nahi mungkar. Jika di hadapan mata kita, ada orang yang bakal terjatuh ke dalam lubang, sanggupkah kita hanya memandang sepi? Jika ada orang sedang menghadapi kebakaran, sampaikah hati kita biarkan tanpa cuba menyelamatkan? Kenal atau tidak, ada pertalian atau tidak, dengan rasa kasih sebagai manusia, pasti kita akan cuba menyelamatkan mereka bukan?

Bagaimana pula jika orang itu adalah orang yang kita sayang? Keluarga kita? Pasti lebih lagi kita mahu menyelamatkan mereka! Dan ini dik, yang mereka bakal hadapi, bukan lubang kecil tapi lubang neraka. Bukan bakaran biasa tapi bakaran 7 tingkatan neraka yang berbeza- beza panasnya. Sanggup kita biarkan?

TENTANGAN YANG MENYUKARKAN JALAN.

Ya, tentangan pasti ada. Tapi mengertilah, mereka menentang kerana mereka ‘belum nampak dan belum tahu’ bahaya yang ada di hadapan mata mereka itu. Kasihanilah mereka. Tanggungjawab kita besar sekali untuk menyedarkan mereka. Allah bagi kita hidayah, tidak hanya untuk menyuluh jalan kita sahaja, tapi supaya kita sama- sama kongsikan menerangi jalan orang- orang yang kita sayangi. Allah pilih kita, sebagai pendukung amanat untuk menyampaikan kebenaran dan membimbing orang- orang di sekitar kita. Itu amanah yang jika tidak kita laksanakan, maka dosanya akan terpikul pada bahu kita.

Hak mereka untuk diperbetulkan, sekalipun mereka tidak sedar dan tidak menuntut di dunia ini, ingatlah mereka akan menuntutnya di akhirat kelak. Pasti. Dan pastinya tidak akan mudah di sana. Bersabarlah dengan tentangan wahai saudara- saudariku sayang, dan kepada diriku sendiri yang disayangi, berikanlah hak mereka sewajarnya. Hak untuk ditegur dan diperbetulkan. Sepertimana kita mahu ada yang membantu menunjukkan jalanan kita, menjauhi kita dari bahaya yang kita tidak nampak di hadapan, maka bantulah. Hak mereka yang memberat di bahu kita, usah disimpan dan ditangguh- tangguh. Kenapa harus kita bebankan di bahu sedangkan banyak lagi bebanan lain yang kita pikul? Kembalikan kepada mereka, itu analoginya (:

Mujahadah itu pahit kerana balasan syurga itu manis, bukankah begitu? Maka bersabarlah. Fasobrun jamiilaa. Sesungguhnya Allah SWT beserta orang- orang yang bersabar. Dan janji syurga untuk mereka yang sabar.

GUNAKAN PENDEKATAN YANG SESUAI

Untuk menegur seseorang, kita perlu menggunakan pendekatan yang terbaik dan berhemah. Yang terbaik bila kita memperbetulkan mereka tidak di depan orang lain. Demikian untuk menjaga air muka mereka, tidak menjatuhkan ego mereka, untuk menyentuh hati mereka dan supaya dalam masa yang sama tidak menimbulkan bibit riak takbur mahupun menyasarkan niat kita kepada selain Allah.

Sekiranya tidak berjaya, sebaiknya gunakan orang tengah yang dihormati dan disegani untuk menegur bagi pihak kita.

Action speaks louder than words

Tindakan serta kelakuan yang ditunjukkan lebih berkesan dari sekadar kata- kata nasihat. Oleh itu betapa perlunya kita sendiri menjadi role model pada keluarga dan sahabat terdekat kita. Tunjukkan akhlak mulia sebagai mukmin dan beristiqomah dengannya, sepertimana akhlak Rasulullah s.a.w yang menjadi uswah atau qudwah hasanah kita. Betulkan niat kita, yang penting adalah usaha kita kerana natijahnya Allah SWT yang Maha Menentukan. Bukan hak kita untuk menentukan mahupun memaksa.

Jaga hubungan dengan Allah. Dan jaga hubungan yang baik dengannya dengan ikhlas. Doakan untuk kebaikan mereka yang kita sayangi. Sentiasa mengajak mereka ke arah kebaikan secara berterusan mengunjungi majlis- majlis ilmu bersama.

Saudara- saudariku yang dikasihi, jangan pernah jemu. Adakah kamu akan jemu pada orang yang akan menjadi saksi bahawa kamu telah melaksanakan amanahmu di hadapan Allah yang Maha Pengasih kelak? Renung- renungkanlah (:

YANG KECIL MENYUMBANG SEDAYA MAMPU, YANG BESAR MENYUMBANG SEMAMPU- MAMPUNYA

Kata Imam Hasan al- Basri,

“Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah.Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan.”

Orang yang tahu, kena bagi tahu. Jangan usia, harta, pangkat dijadikan tembok keegoan yang menghalang. Tidak semestinya hanya orang yang tinggi ilmu sahaja yang mesti mengajar. Jangan rendah diri hanya kerana kita bukan sesiapa, mahupun mempunyai ilmu yang cetek. Perbendaharaan ilmu Allah SWT itu luas, yang Dia anugerahkan dengan tingkatan berbeza- beza pada setiap hamba-Nya. Sedikit yang ada pada kita, sedikit yang kita tahu, maka yang sedikit itulah yang perlu diajar dan dikongsi pada orang lain. Berdosa menyembunyikan ilmu.

Baligghu ‘anni walau aayah.

Sampaikan dariku (baginda Rasulullah s.a.w) walaupun sepotong ayat’. Ilmu lain yang lebih banyak, insyaAllah, orang lain yang diberi rezeki ilmu tersebutlah telah diamanahkan untuk menyampaikan padanya. Dalam masa yang sama, kita sendiri juga perlu tingkatkan ilmu di dada juga. Sentiasa, kerana proses belajar itu tidak akan pernah terhenti sehingga mati datang menjemput. Carilah ilmu, dan carilah ruang untuk menambah ilmu. Marilah kita menjadi sebaik- baik manusia seperti yang diriwayatkan dalam hadith Imam Bukhari,

“khairukum man ta’allamal Quran wa ‘allamahu”

‘Sebaik- baik manusia di antara kamu adalah orang yang belajar al- Quran dan mengajarkannya.’ Cintailah taman- taman syurga dan semailah sifat ini.

Kun ‘aaliman” – jadilah orang yang mengajar
“au muta’alliman” – atau orang yang belajar (dengan sikap seorang pelajar)
au mustami’an” – atau pendengar (kepada ilmu yang diajar)
“au muhibban” – atau orang yang mencintai majlis- majlis ilmu

Allahu musta’an. Wallahu’alam.

0 comments: