Dosa berhutang tidak diampunkan Allah
ISLAM
membenar, malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan
dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang membabitkan masalah kewangan.
Pada masa sama, Islam memberi galakan kepada umatnya agar
memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam
pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban
yang ditanggung oleh mereka, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang
bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan
pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan
pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula
akan beroleh pahala yang mulia." (Surah al-Hadid, ayat 18)
Firman
Allah bermaksud: "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan
ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan
permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)
Namun, Islam begitu
teliti dan memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar
semula hutang kerana ia membabitkan hubungan sesama manusia ketika hidup
di dunia ini hingga ke akhirat kelak.
Mengapakah anda berhutang?
Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah:
l. Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.
2.
Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering
memberi galakan untuk berhutang. Lantaran itu dia berbuat demikian,
walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanya untuk
berbangga dengan apa yang dimilikinya.
3. Sikap tidak berasa
puas dan cukup dengan apa yang dimiliki dan sanggup berhutang demi
memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
4.
Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti
institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan
berhutang.
5. Berkehendakkan sesuatu benda yang membabitkan
kebendaan dengan cepat dan segera walaupun hakikatnya dia tidak mampu
berbuat demikian.
Dalam hal ini jika perkara yang hendak
dimiliki itu adalah keperluan asasi (dharuriat) seperti makanan,
minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran, maka Islam membenarkan
berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud: "Daripada Abu
Hurairah berkata seseorang: Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling
baik? Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau
melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya."
Jika
perkara yang ingin dimiliki itu bukan perkara asasi atau penting dalam
kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah dia berhutang. Ini kerana
hanya akan menambahkan bebanan, lebih-lebih lagi jika membabitkan
institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba.
Kesan amalan berhutang.
l
Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam
kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang
seperti muflis. Ini disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal
melunaskan hutangnya.
2 Jiwa orang yang berhutang tidak akan
tenteram dan aman, hidupnya dalam resah gelisah kerana dihantui bebanan
dan tuntutan hutang yang tinggi.
3 Seseorang yang terbeban
dengan hutang akan memungkinkan dia melakukan pelbagai perkara yang
dilarang oleh syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata
untuk melunaskan hutangnya.
4 Orang yang berhutang akan terikat
hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya selepas
meninggal dunia hingga segala hutang piutangnya dilunaskan ketika hidup.
Sabda Rasulullah: "Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan
hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hingga dia
menjelaskan hutangnya."
Rasulullah pernah berwasiat kepada
sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya :
"Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu
ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan
hidup bebas."
Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata- mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat.
Sabda
Rasulullah: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika
seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain
yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari
hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi."
Sabda
Rasulullah bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni
kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai' dan Ibn.
Majah)
Rasulullah sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah
orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan
oleh Saidina Ali bahawa apabila didatangkan kepada Rasulullah satu
jenazah, Baginda tidak akan bertanya mengenai amalan si mati, tetapi
bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati
mempunyai hutang, Rasulullah menyuruh sahabatnya menyembahyangkan
jenazah itu atau Baginda meminta sesiapa yang sanggup menaggung hutang
si mati. Jika tiada, maka hutang itu akan diserah atau ditanggung oleh
pihak Baitulmal.
Saturday, April 21, 2012
Hutang
Posted by Nurul Wahida at 4/21/2012 09:59:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment