CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, August 5, 2011

Ramadhan Bulan Hidayah

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.." (Al-Baqarah, ayat 183)

Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Ramadhan Bukan Hanya Menahan Lapar & Dahaga

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Taqwa Dan Hidayah

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.

Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.

Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Tunjukilah kami jalan yang lurus.." (Surah al-Fatihah, ayat 6)

Memohon Hidayah Berkali-Kali Sehari

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar.

"(Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." (Surah al-Fatihah, ayat 7)

Dan siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT :

"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.." (Surah an-Nisa', ayat 69)

Semarakkan Ramadhan Dengan Al-Quran

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya.

Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah SWT.

Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya.

Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak.

Apabila Al-Quran Diketepikan

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup.

Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union ,ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.

Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah.

Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.

Monday, July 18, 2011

Kiranya Ini Dikatakan Taman Syurga

Alhamdulillah kerana dengan izin dari Allah, kita dipertemukan lagi di ruangan yang menemukan kita hanya melalui baris-baris bicara.

Damai rasanya berada di bawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.

Subhanallah... titis-titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.

Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaan-Nya.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tetapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buat-Nya... Insya-Allah.

Seperti biasa, setiap petang Khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid di surau ar-Rahman, berhampiran kawasan kediamanku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalanku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian (surau) aku akan berdoa;

Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);

Ya Allah,
jadikanlah cahaya di hatiku
cahaya di lidahku
cahaya di pendengaranku
cahaya di penglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya di hadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi S.A W telah keluar dari rumah Maimunah r.a selepas bertahajud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda S.A.W telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insya-Allah).

Perjalanan ke surau itu mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.

Setibanya aku di perkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal daripada mereka hari ini.

Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.

Indah ku rasa, damainya jiwa mendengar kalimah yang membesarkan Ilahi. Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada di dalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) menjadi orang pertama yang hadir di surau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.

Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insya-Allah).

Doa Masuk ke Dalam Surau/ Masjid (maksudnya);

"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Sebaik saja kaki melangkah di pintu surau, terlihat dua orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum.." Ucapan salam bersambut.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah.

Seusai kata-kata aamin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam al-Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.

Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);

Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan al-Quran.
Jadikan ia Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tidak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami di akhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...

Di sinilah..
Saat inilah...

Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...

Bukan suara kami Ya Allah.

Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.

Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.

Di dada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hamba-Mu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.

Tertunduk malu aku dengan-Mu Ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dari-Mu, aku bersyukur.

Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hamba-Mu ini, di kalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmu-Mu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal pada-Mu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaan-Mu.

Redhailah kami Ya Rabbi.

Limpahilah Rahmat-Mu buat kami Ya Rabbi.

Bahagiakanlah kami di dunia dan akhirat nanti...

Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya dengan-Mu...
Allahu Rabbi.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini, gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas di bumi pinjaman-Mu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisi-Mu nanti...

Sunday, July 17, 2011

Air Tangan Orang Tak Solat

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar, malahan orang yang tidak solat lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa a.s.

Kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barang siapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya.

Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.

Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu atau isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dan sebagainya. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat. Tak tergamak kan?

Tapi lain pula halnya dengan kita hari ni. Pagi petang, mamak. Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia. Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Hati- hati dengan apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril a.s.

Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum". Maksudnya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu.."

Wa'allahualam